
Tentang FTIM 2026
Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026
Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang bakal dianjurkan buat edisi keempat tahun ini buat julung kalinya akan dimajukan ke peringkat nasional dan menjadi Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026. Festival ini merupakan cetusan idea YAB Dato’ Seri Amirudin Shari yang lahir daripada hasrat beliau untuk memartabatkan karya-karya besar turath dan menyuburkan semula tradisi pengajian kitab dalam kalangan masyarakat; bermula daripada cadangan beliau kepada penterjemah dan penerbit IBDE untuk menterjemahkan karya agung Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, sehinggalah kepada penubuhan festival ini sebagai platform khusus penerbitan serta pengajian bersama para ulama. Penganjuran festival ini merupakan manifestasi iltizam berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menghidupkan dan memartabatkan khazanah turath Islam sebagai teras pembangunan insan dan masyarakat. Cetusan idea oleh Dato' Menteri Besar Selangor ini dilihat sebagai usaha strategik untuk menyemarakkan kembali minat masyarakat terhadap kitab-kitab turath yang menjadi lambang kegemilangan tradisi keilmuan Islam serta sumber kebijaksanaan dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menjalin kerjasama utuh bagi menjayakan Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 sebagai kesinambungan kepada tiga siri Festival Turath Islami Selangor sebelum ini bagi memartabatkan khazanah turath Islami sebagai asas pembangunan insan, pembentukan akhlak, dan pengukuhan masyarakat berilmu yang berpangkalkan warisan intelektual sebagai sumber rujukan hidup. Penganjuran kali ini berpusat di mercu tanda keagamaan negara, iaitu Masjid Putra, Putrajaya. Peningkatan skala ini membuktikan kejayaan FTIM sebagai manifestasi keilmuan yang kini bersedia menyinar di peringkat yang lebih luas dan berimpak tinggi.
Turath Islam atau warisan intelektual Islam merupakan khazanah ilmu yang tidak ternilai, merangkumi pelbagai disiplin seperti tafsir, hadis, fekah dan tasawuf. Ia bukan sekadar peninggalan sejarah, bahkan merupakan sumber rujukan hidup yang membimbing umat Islam dalam memahami wahyu, menegakkan hukum syarak serta membina akhlak dan peradaban.
Sepanjang tiga edisi terdahulu, FTIM telah berjaya mengangkat tokoh-tokoh ulama muktabar dan mahakarya mereka, iaitu Imam al-Ghazali melalui karya Ihya’ Ulumuddin (2023), Imam al-Nawawi dengan Al-Arbaʿin al-Nawawiyah (2024), serta Imam Jalaluddin al-Suyuti bersama Tafsir al-Jalalain (2025). Penganjuran ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan, menghimpunkan ribuan peserta dari seluruh Malaysia serta penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thailand. Kejayaan tersebut membuktikan bahawa masyarakat masih dahagakan pengisian ilmu yang berakar pada tradisi keilmuan Islam yang sahih.
Bagi edisi tahun 2026, FTIM bertemakan “HIKMAH WARISAN ISLAM” akan mengangkat tokoh besar tasawuf Islam, iaitu Ibnu Athaʿillah As-Sakandari, bersama mahakaryanya Al-Hikam al-Ataʿiyyah. Kitab ini merupakan antara karya tasawuf paling berpengaruh dalam sejarah Islam, mengandungi himpunan kalam hikmah yang mendalam berkaitan tauhid, tawakkal, keikhlasan, adab dengan Allah serta perjalanan rohani menuju makrifatullah. Festival kali ini membawakan 26 orang ulama terhormat dari seluruh pelusuk dunia bagi menjayakan pelbagai siri pengisian ilmiah sepanjang minggu.
Pemilihan Al-Hikam sebagai kitab tumpuan FTIM 2026 amat signifikan dalam konteks semasa yang menyaksikan masyarakat berhadapan tekanan kehidupan moden, kegelisahan jiwa dan kekosongan makna. Hikmah-hikmah yang terkandung dalam karya ini menawarkan panduan rohani yang seimbang antara syariat dan hakikat, zahir dan batin, amal dan ihsan. Melalui pengisian ilmiah dan rohani yang dirancang, FTIM 2026 diharap dapat menjadi wadah penyucian jiwa, pengukuhan tauhid serta pemerkasaan dimensi kerohanian masyarakat.
FTIM 2026 mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam mengimbangi kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dengan pemerkasaan tradisi ilmu berasaskan talaqqi dan sanad. Usaha ini penting bagi memastikan khazanah keilmuan Islam terus terpelihara dan diwarisi. Tema "Hikmah Warisan Islam" bukan sekadar slogan, sebaliknya satu seruan untuk mengembalikan tradisi ilmu sebagai teras pembinaan umat yang berkeyakinan dan pemangkin kemajuan tamadun.

YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor
Kitab Tumpuan FTIM 2026

Al-Hikam al-Ataʿiyyah
Ibnu Athaʿillah As-Sakandari
Ibnu Athaʿillah As-Sakandari (w.709H/1309M) atau nama penuhnya Tajuddin Ahmad bin Muhammad bin Abdul Karim Ibnu Athaʿillah As-Sakandari merupakan seorang ulama besar dalam bidang tasawuf, akidah dan fekah. Beliau bermazhab Syafiʿi dan beraliran Ahlus Sunnah wal Jamaah (Asyʿari), serta merupakan tokoh utama dalam Tariqat Syadziliyyah selepas pengasasnya, Syeikh Abu al-Hasan al-Syadzili dan Syeikh Abu al-Abbas al-Mursi.
Ibnu Athaʿillah terkenal sebagai ilmuwan yang berjaya menggabungkan antara syariat dan hakikat, zahir dan batin, serta ilmu dan amalan. Antara karya beliau yang masyhur termasuk Lataʾif al-Minan, Taj al-Arus, dan yang paling terkenal, Al-Hikam al-Ataiyyah. Beliau dikenali sebagai salah seorang tokoh penting dalam tradisi tasawuf Sunni yang menekankan pemurnian jiwa tanpa menyimpang daripada disiplin syariat.
Kitab Al-Hikam merupakan himpunan kalam hikmah yang ringkas tetapi sangat mendalam, mengandungi ratusan ungkapan kebijaksanaan mengenai tauhid, tawakkal, keikhlasan, pergantungan kepada Allah, adab dalam beramal, serta perjalanan rohani menuju makrifatullah. Setiap hikmah disusun dalam bentuk aforisme yang padat, menjadikannya mudah dihafal namun memerlukan tadabbur yang mendalam untuk difahami.
Kitab ini telah disyarahkan oleh ramai ulama sepanjang sejarah dan menjadi teks utama dalam pengajian tasawuf di pelbagai wilayah Islam termasuk Timur Tengah, Afrika Utara dan Alam Melayu. Al-Hikam bukan sahaja membentuk kerangka kerohanian individu, tetapi juga membantu membina keseimbangan antara usaha manusia dan penyerahan kepada ketentuan Allah.
Melalui pendekatan yang menekankan penyucian hati dan pengukuhan tauhid, karya ini kekal relevan hingga ke hari ini sebagai panduan dalam menghadapi cabaran kehidupan moden yang sering menguji ketenangan jiwa dan kestabilan rohani.

